OKTOBER 2024

Premier Sampaikan Anugerah SCSICA 2024


KUCHING, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyempurnakan Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024 yang bertempat di sebuah hotel terkemuka di bandaraya ini malam tadi. 

Anugerah SCSICA  menjadi kemuncak Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSIMon) yang bertujuan mengiktiraf kreativiti dan dedikasi luar biasa penjawat awam dari pelbagai agensi kerajaan. 

Sejumlah  12 kategori telah dipertandingkan, menampilkan usaha dan inovasi luar biasa daripada 50 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Terdahulu, Premier Sarawak telah menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Inovasi Premier, anugerah paling berprestij, di mana Kumpulan Bistari daripada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan berjaya membawa pulang hadiah utama bernilai RM15,000.

Manakala, kumpulan IPOK dari Pejabat Residen Bahagian Mukah telah dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori Pejabat Residen dan Daerah, sementara Kumpulan Lengkang Wijaya dari SMK Agama Miri mengungguli kategori Persekutuan.

Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000. 

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan dif kenamaan lain.